Peristiwa Bersejarah
Di Bulan Muharam
Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan dan rahmat kerana
bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam
juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku
sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhluk-nya.
Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mujizat kepada
Nabi-Nabi-nya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurnianya yang
terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai tanda kesyukuran
kepadanya, maka hamba-hambanya mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka
dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu, masih belum dapat
lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.
Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, “Hari ini Allah SWT memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi saw: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu.”
Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa.
Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan rezeki pada
keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini. Terdapat
juga sebuah hadis meriwayatkan, “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura,
maka dapat menebus dosa satu tahun.” Maksud hadis ini ialah hari yang kesepuluh
Muharam (Asyura) merupakan hari dan bulan kemuliaan kerana pada sesiapa yang
berpuasa pada hari inilah, Allah membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang
lampau.
Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa
kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping
ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini
sepertimana terdapat dalam satu hadist. “Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura
(10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat
dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh
ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari
Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa
yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan mengenyangkan perut
mereka.” Sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari
Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari.” Jawab Rasulullah, “benar,
Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan menjadikan
bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan
menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan Adam dan
Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam
ke syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari
Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub.
Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam dan
diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari
Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura.” Maka pada hari itu ( 10
Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur kepada Allah
kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah
beratus-ratus tahun lamanya memohom keampunan.
Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam
yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka
diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam
agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan
istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa
itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah
berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada
Allah swt.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam
ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan sepuluh
kehormatan.
1.
Setelah beratus-ratus
tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10
Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu
penghormatan kepada Nabi Adam a.s.
2.
Pada 10 Muharam juga,
Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat
baginda.
3.
Pada 10 Muharam, tarikh
berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana
hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari
banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini
merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang
terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang
yang engkar pada Nabi Nuh a.s.
4.
Nabi Ibrahim
dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan
juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud.
Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya
menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim
dari angkara kekejamanNamrud.
5.
Pada 10 Muharam ini
juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang
walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri
orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka
Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan
menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas
perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi
Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.
6.
Pada 10 Muharam ini
juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi
Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada
kekejaman kaum Bani Israil.
7.
Allah juga telah
menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan
mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar yang memakan
semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh
tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan
tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan
Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s
8.
Allah juga telah
menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam
bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman
Firaun buat masa itu.
9.
Allah juga telah
mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di
dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi
Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah
mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya
dari perut ikan Nun.
10.
Allah juga telah
mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan
kepada baginda. Dengan itu, mereka berpuasa dan beribadah kepada Allah sebagai
tanda kesyukuran kepada Allah swt. Nabi saw telah bersabda dengan maksudnya:
“Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah wajib puasa Asyura,
tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka berpuasa, maka dibolehkan
berpuasa dan sesiapa yang tidak sukar boleh meninggalkannya.”
Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari Asyura
ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka
diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya adalah sunat.
0 komentar:
Posting Komentar